Tumbuh siong Raja Bersiong

Baginda amat gemar memakan masakan gulai bayam. Pada suatu hari, Baginda telah pergi berburu. Tukang masak Baginda seperti biasa telah ditugaskan untuk memasak gulai bayam. Tukang masak ini suka berangan-angan, tanpa disedari beliau telah terpotong jarinya sendiri. Darah dari jarinya telah termasuk ke dalam periuk gulai bayam yang akan dihidangkan kepada Raja Bersiong. Tukang masak ini telah menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan orang lain kerana tiada masa untuk menggantikan masakan ini dengan masakan yang lain. Apabila pulang daripada perburuan, Raja Bersiong terasa amat lapar dan terus sahaja bersantapkan nasi berlaukkan gulai bayam bercampur darah tadi. Baginda terasa kelainan pada masakan gulai bayam kali ini. Masakannya terasa amat enak. Baginda telah bertanya kepada tukang masak tentang hal ini. Tukang masak telah mengaku akan kesalahannya membiarkan Baginda santap masakan yang telah bercampur dengan darah manusia. Baginda kemudian telah menitahkan pengawal memancung dan membunuh musuh-musuh baginda yang dipenjarakan. Seorang banduan akan dihukum pancung dan darahnya akan dikumpulkan dalam satu bekas dan dimasukkan ke dalam masakan gulai bayam untuk santapan Raja Bersiong.

Sejak hari itu, Raja Bersiong tidak boleh hidup tanpa menyantap darah manusia setiap hari. Habis banduan di dalam penjara yang dipancung dan diambil darahnya. Sesudah penjara Baginda kosong, Raja Bersiong menitahkan para pengawal untuk menculik kanak-kanak yang tidak bersalah. Kanak-kanak ini dibunuh dan darah mereka diambil untuk disantap oleh Raja Bersiong. Penduduk negeri berasa sangat marah akan baginda, tetapi mereka takut untuk berbuat apa-apa. Pada suatu malam, dua batang taring atau siong telah tumbuh di dalam mulut Raja Bersiong kerana kegemaran Baginda menyantap darah. Raja Bersiong berasa sangat bangga. Baginda mahu musuh-musuh takut kepada Baginda dan rakyat jelata berasa hormat kepada Baginda. Sementara itu, Baginda terus menangkap kanak-kanak dan rakyat yang tidak bersalah untuk dibunuh dan diambil darah mereka.